Thursday, June 26, 2008

Teks Ucapan ADUN Kawasan Tebing Tinggi Y.B. Ong Boon Piow Sempena Persidangan Pertama Dewan Negeri Perak 26hb Jun 2008


Tuan Yang Dipertua, terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih ,kerana sudi membenarkan saya bangun untuk menjunjung kasih titah baginda DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk persidangan Dewan kali ini.

Tuan Yang Dipertua, saya ingin mencatat dalam rekod Dewan yang mulia ini, bahawa tindakan ahli-ahli dari BN untuk memulau Dewan pagi ini adalah dengan izin most childish, unparliamentarian dan most irresponsible.

Tindakan mereka membuktikan BN mengutamakan kepentingan politik, menderhaka kepada rakyat yang member mandate kepada mereka. Semalam 13 ahli berucap di mana 7 dari pihak kerajaan, 6 dari pembangkang. Malahan YB Kubu Gajah telah diberi peluang untuk berucap tetapi beliau enggan.

Seluruk dunia hari ini menerusi laman web telah menyaksikan sikap tidak berprofesional mereka sebagai wakil rakyat.

Saya berharap rakyat jelata Negeri Perak ingat perbuatan yang dilakukan oleh YB-YB BN hari ini. Nyata dan jelas sekali mereka hanya mementingkan perkara re,eh temeh dan bukan untuk rakyat jelata. Ini menynjukkan pilian rakyat pada 308 adalah tepat sekali.
Tuan Yang Dipertua, Saya ingin mengucapkan taniah kepada kerajaan baru negeri Perak Darul Ridzuan dibentuk selepas piliranraya yang ke-12 .

Kesan Pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat

Selepas 100 hari di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, pelbagai pencapaian yang telah dibuat . Ini dimulai dengan pemansuhan kompaun-koumpaun yang dikeluarkan oleh PBT-PBT selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 17hb Mac 2008.
Ini disusuli oleh pengumuman pemberian status tanah hak milik kekal kepada 134 buah kampung-kampung baru dan tersusun . Dan masa kini pihak kerajaan negeri sedang berusaha keras untuk merealisasikannya. Namun begitu, dukacitanya usaha ikhlas ini disangkal oleh bekas EXCO dan ADUN daripada Parti MCA , menerusi kenyataan akhbar bagi menunjukkan mereka tidak percaya proses tersebut akan berjaya.
Saya berasa amat dukacita dengan kenyataan yang dikemukakan oleh mereka, sedangkan semasa dalam zaman pemerintahan kerajaan BN, mereka tidak menghargai peluang untuk memberi status tanah hak milik kekal kepada kampung-kampung baru dan tersusun. Tapi selepas 4 hari sahaja, Ahli-ahli EXCO mengangkat sumpah, impian mendapatkan status tanah hak milik kekal oleh penduduk-penduduk Kampung Baru dan Kampung Tersusun termakbul. Syabas kepada Kerajaan Negeri Perak.


Ini jelas menunjukkan bekas ahli EXCO tersebut tidak terima hakikat, iri hati dan cuba menimbulkan suasana tidak tentu hala diperkalangan orang ramai atas polisi ini.

Tuan Yang Dipertua, pada 4hb April 2008. Kerajaan Negeri Perak sekali lagi mencatat sejarah dengan mengumumkan jawatan ketua kampung 817 buah kampung di dalam negeri akan menjalankan pilihan secara umum.

Dan banyak lagi pencapaian yang nyata dicapai seperti pemilihan Tuan Yang Dipertua Dewan pertama yang berketurunan India di Negara kita dan Timbalan Yang Dipertua wanita yang pertama di negeri Perak.

Serta pada hari ini, seluruh dunia boleh menonton Sidang Dewan ini secara langsung menerusi laman web rasmi kerajaan negeri Perak, adalah lembaran baru bagi negeri Perak. Rakyat jelata Perak kini boleh menyaksikan sidang tanpa penyuntingan dan berulang kali. Ini menunjukkan pihak kerajaan negeri telah ketulusan dari segi persidangan dewan yang lalu tidak dapat dirasai semasa kerajaan negeri pimpinan BN. dan nampaknya Kerajaan Pusat yang diterajui oleh BN pun tidak mampu dan kedekut dengan hanya menyajikan lintas langsung parlimen selama 30 minit sahaja. Syabas sekali kepada kerajaan negeri yang telah jauh mengatasi kerajaan pusat yang berumur 51 tahun.

Masalah Pusat Bandaraya Ipoh Yang Hilang Tarikan
Tuan Yang Dipertua, berkenaan dengan kawasan saya iaitu Tebing Tinggi yang merangkumi kawasan pekan baru di dalam Pusat Bandaraya Ipoh. Banyak peniaga-peniaga merungut kepada saya bahawa Bandar Ipoh sekarang tidak serupa Bandar.

Oleh sebab apabila memasuki waktu petang iaitu sekitar 5 petang. Bandar Ipoh seolah-olah kehilangan roh untuk digelar sebagai Pusat Bandaraya. Ini boleh dibuktikan pada waktu malam, YB-YB dan Tuan-tuan dan puan-puan di dalam dewan yang mulia ini boleh membuat kunjungan di Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Sultan Idris Shah.

Saya berasa tiada seorang yang berani atau mahu berjalan kerana hampir kesemua kedai-kedai ditutup. Dan peniaga-peniaga kawasan ini kadangkalanya diejek oleh pelanggan bahawa keadaan malam di pusat bandaraya seperti “Keadaan Perintah Berkurung” ,ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa bandar raya Ipoh terlalu sunyi. Dan akhirnya peniaga-peniaga mengeluh kepada saya “keadaan kini tidak serupa seperti keadaan masa lalu iaitu sebelum 90 an, dan sekarang amat sukar untuk menjalankan perniagaan dan kini cuma harapkan keuntugan yang diperolehi memadai untuk menampung kos perniagaan dan sara hidup sahaja.”

Tuan Yang Dipertua, sebagai wakil rakyat yang berada di kawasan ini. Saya berasa peniaga-peniaga dan penduduk-penduduk di kawasan saya telah meluahkan suara hati mereka. Ini juga termasuk seorang yang prihatin tentang masalah ini bernama Mohd Ghazali Osman, telah menghantarkan cadangan beliau kepada The Star dan cadangannya telah dipapar dalam surat khabar bertarikh 5hb Jun 2008 muka surat N56 yang dengan izinnya bertajuk “Ipoh Badly Needs A Good Shake-UP” ataupun bermaksud “Ipoh amat memerlukan rombakan yang baik” dan kandungannya berbunyi “aktiviti waktu malam di pusat bandar raya adalah membosankan dan seperti bandar hantu”.

Pada hemat saya, segala-segala yang terjadi mesti ada puncanya. Isu Pusat Bandaraya Ipoh hilang terikan setelah membangun dari zaman penjajahan Inggeris
sehingga hari ini mengalami kemerosotan adalah melibatkan factor-faktor seperti berikut:
1. Kemerosotan industri bijih timah pada akhir 80an.
2. Ketandusan institusi-institusi pelajaran tinggi.
3. Kekurangan aktiviti waktu malam yang sihat.
4. Penjaja-penjaja telah dilarang berniaga pada waktu malam oleh PBT untuk berniaga di luar kedai semenjak 80-an.
5. Keadaan kebersihan dan penguat kuasa yang terlalu ketat atas pemandu kereta.
6. Kadar jenayah yang meningkat.
7. Promosi pelancongan yang tidak menyeluruh.
8. Kekurangan pelabur-pelabur asing
9. Bilangan pendatang tanpa izin yang banyak.
10. Lapangan terbang yang berkeadaan dorman.
11. Landasan keretapi berkembar yang masih tidak beroperasi.
12. Pembangunan yang tidak sekata oleh kerajaan lalu. Iaitu cuma mementingkan kawasan baru seperti di Medan Baru Ipoh, Bandar Sunway di Tambun, lalu Pusat Bandaraya tersisih dari arus pembangunan .Konsep pembangunan di Kuala Lumpur yang berkembang sehingga kawasan Bangsar,Petaling Jaya ,Subang Jaya, Puchong juga mengukut jejak langkah Ibu Kota untuk membangun harus dirujuk oleh Pihak Kerajaan Negeri.

Tuan Yang Dipertua, Ipoh sebagai satu tempat yang telah membangun sejak zaman penjajahan Inggeris dan ibu negeri Perak. Jika wujud sintom pengurangan daya saing yang begitu ketara di pusat bandaraya. Maka industri pelancongan adalah salah satu cara penyelesaian yang ekonomi untuk menyuntik semula kompetitif untuk pembangunan.

Tetapi malangnya, terdapat banyak tanda tempat atau dengan izin “Landmark” yang merupakan tarikan pelancong asing, telah mengalami kemusnahan dari segi rupa bentuk. Seperti Pasar Bulatan Yau Tet Shin yang diroboh , air pancut Birch di Jalan Lahat yang digantikan dengan air pancut baru yang langsung tiada nilai sejarah, terkini Menara Jam berirama telah dicat warna merah, orang patung pula diganti dengan jalur gemilang dan negeri Perak.
Apakah usaha-usaha pemulihan dan pemeliharaan bangunan bersejarah dilakukan oleh orang yang diberi tanggungjawab berat ini? Saya berharap orang-orang yang terlibat harus tepuk dada tanya selera atas usaha pemusnahan telah dibuat.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk memberikan satu cadangan supaya setiap jalan di pusat bandaraya mendirikan satu papan kenyataan bagi memaparkan sejarah serta daya tarikan terkini jalan tersebut. Juga mendirikan tanda jalan tribahasa untuk menambah keunikannya.

Kenaikan Harga Bahan Api Kenderaan Dan Tenaga Elektrik

Tuan Yang Dipertua, Kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan pusat ini telah memberikan kesan yang begitu besar terhadap rakyat seluruhnya. Kenaikan setinggi 41 dan 63 peratus bagi harga seliter petrol dan diesel tidak pernah berlaku di Negara ini dan ia telah diumumkan secara mengejut sedangkan pemimpin kerajaan pusat menafikan harga minyak akan dinaikkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sendiri menyebutkan harga minyak tidak akan dinaikkan sehingga Ogos. Keadaan ini membuatkan rakyat tidak membuat persediaan untuk menghadapi kenaikan harga minyak dengan mendadak dan mengejut. Kesan daripada tiadanya persediaan ini, keadaan dalam negara menjadi agak kecoh kerana kenaikan harga ini tidak melibatkan minyak semata-mata, sebalik ia menjadi kenaikan harga berantai dan membentuk tekanan inflasi yang amat ketara.

Kenaikan harga bahan api berlaku ketika isu kehabisan bekalan beras, gandum dan minyak masak belum berakhir. Kenaikan harga barang makanan sudah berlaku dengan begitu tinggi pada April dan Mei di mana makanan ruji seperti nasi dan roti telah mengalami kenaikan harga hingga 30 peratus. Dengan kenaikan harga bahan api, harga barangan pengguna dan perkhidmatan turut mengalami isu yang sama.
Bagi negeri Perak, keadaan adalah lebih rumit daripada dibayangkan. Ini adalah akibat daripada sejak kemerosotan industri pelombongan bijih timah. Negeri Perak masih tidak dapat mencari satu sumber pendapatan negeri yang mantap sebagai pengganti. Oleh itu lama-kelamaan sehingga hari ini kerajaan negeri Perak telah mencatatkan deficit belanjawan yang berturut-turut.
Apabila bebanan harga petrol dan diesel diletakkan atas bahu rakyat jelata di negeri Perak .Tambah lagi satu lagi bebanan ,seperti yang ditunjuk di dalam panggung wayang untuk filem yang bakal tayang, iaitu dengan izin “COMING SOON” untuk kenaikan harga elektrik bagi pengguna biasa yang melebihi RM43.60, ataupun penggunaan yang melebihi 200kWsejam.
Tuan Yang Dipertua, segala kesan daripada pengumuman drastic serta tidak terancang secara teliti telah jelas kelihatan. Pada 14hb Jun 2008,sejumlah RM116.7 juta tuntutan rebat tunai telah dibayar kepada 239,414 pemilik kenderaan. Pada hari itu juga, segala urusan penjelasan bil dan pengeposan telah diberi laluan untuk tujuan tuntutan rebat tunai.
Walaupun pihak kerajaan pusat banyak kali memberi teguran supaya tidak bersesak-sesak untuk hari pertama tuntutan tersebut. Jelas sekali berdasarkan jumlah wang dan penuntut -penuntut yang rela berbaris panjang, ini menunjukkan bahawa rakyat telah hilang kepercayaan kepada kata-kata pemimpin kerajaan pusat yang gemar membuat pengumuman mengejut, bagi menguji tindak balas rakyat bagi memenuhi stesen-stesen . Jika kerajaan pusat masih nekad dan tidak sedar daripada tarikh 308, dan teruskan usaha untuk memasukkan rakyat ke dalam tabung uji. Kuasa Rakyat atau dengan izin “Makkhal Sakthi” akan terus menular ke semua pelosok negara termasuk negeri Perak.
Tuan Yang Dipertua, ekoran daripada peningkatan harga bahan api kenderaan dan elektrik. Saya berharap pihak kerajaan negeri akan menggesa kerajaan pusat untuk mendirikan atau membekalkan bahan api NGV (Natural Gas for Vehicle) yang cuma berharga RM0.635 per liter di stesen minyak tanpa menghadkan syarikat pembekal.
Di negara kita terdapat 39 buah stesen minyak yang membekalkan NGV kepada orang ramai. Negeri Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur adalah di antaranya. Justeru adalah tidak menjadi alasan untuk tidak mendapatkannya di negeri Perak.
Untuk sektor pengangkutan awam, setelah banyak kawasan kediaman yang baru yang teleh dibangunkan. Namun begitu jaringan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bus tidak berkembang sejajar dengan keluasan tempat yang telah dibangunkan. Sebagai contoh di Ipoh, masih terdapat banyak tempat tidak mempunyai perkhidmatan bus awam.
Dan lebih menyedihkan lagi, kekerapan membawa penumpang sama ada masih kekal ataupun menurun, sehingga di kawasan Pasir Pinji pada masa dahulu masih terdapat perkhidmatan bus dan kini sudah berhenti. Dan bagi kawasan Ampang, bus awam cuma dibekalkan di Jalan Raja Musa Mahadi sahaja. Saya berasa keadaan ini boleh berubah selagi kita mempunyai hasrat untuk memperkaiti mutu perkhidmatan penggangkutan awam yang sedia ada.

Tuan Yang Dipertua, walaupun Kerajaan Pusat pernah berkata bahawa selepas menaikkan harga 30 sen untuk petrol, diesel dan LPG (Liquefied Petroleum Gas) yang akan memberi penjimatan kewangan sebanyak RM4.4 bilion untuk membiayai projek-projek pembangunan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan rakyat keseluruhannya. Tetapi hari ini rakyat masih tidak merasai tujuan penjimatan tersebut.

Untuk peningkatan kali ini, Pak Lah berkata akan menjimatkan RM13.7 bilion. Selain daripada rebat yang dikembalikan, kerajaan pusat masih tiada tujuan jelas dan terperinci untuk baki penjimatan . Dan pada tahun lalu, usaha kerajaan menaikkan gaji kakitangan kerajaan untuk memberi keselesaan untuk menampung kos sara hidup yang melambung telah diimbang semula susulan pengumuman pada 5hb Jun 2008.

Bagi Timbalan Perdana Mentari yang sering menyeru rakyat untuk “Ubah Gaya Hidup”. Dan Menteri Datuk Shahrir Abdul Samad telah menyahut seruan tersebut dan pada 10hb Jun 2008 telah menumpang KLIA transit untuk ke pejabat di Putrajaya, tetapi akhirnya beliau mengaku bahawa tidak senang untuk menggunakan pekhidmatan pengangkutan awam kerana mengambil masa yang lama serta kos meletak kenderaan yang mahal.

Jika bagi rakyat dah cukup berjimat untuk kehidupan seharian. Adalah tidak realistik untuk golongan ini untuk mengubah gaya hidup. Tak akan hendak mereka makan sekali sehari atau berpuasa sepanjang tahun, ataupun menggunakan barangan yang tidak berkualiti sehingga berlakunya kemalangan. Ini adalah bertentangan dari pengetahuan asas bagi seseorang boleh menikmati kehidupan yang lebih baik dari pendapatan yang diperolehi. Dan meningkatkan sumber pendapatan yang lebih tinggi untuk rakyat adalah kunci bagi penyelesaian masalah dan bukan semata-mata suruh orang ubah gaya hidup.

Tetapi adalah penting bagi kerajaan tidak mengamalkan perbelanjaan yang boros seperti menghantar angkasawan dengan harga RM9000juta , membelanjakan RM1.49juta untuk melancarkan MSC Cybercentre Meru Raya di Padang Ipoh yang telah membinasakan padang tersebut serta program lain terdapat di dalam dengan izin Malaysia Book Of Record yang tidak membawa faedah kepada rakyat.

Dan bagi CEO-CEO di GLC kerajaan masih menikmati anjakan gaji yang mencecah 137 peratus. Contohnya CEO bagi Kumpulan CIMB Datuk Nazir Razak, gaji diperolehinya bagi tahun 2005 di antara RM3.95 -RM4 juta telah dinaikkan sehingga RM935juta untuk tahun 2008. Adakah kerajaan pusat sebagai pemegang saham terbesar telah lupa bahawa rakyat adalah pemilik saham. Dan semasa GLC kerajaan seperti Petronas, CIMB, TM Berhad, Sime Darby menguat keuntungan besar dan apakah kebaikan yang dinikmati oleh rakyat semasa menghadapi kadar inflasi yang tidak setampil dengan pendapatan?

Tentang masalah penghijrahan dari negeri Perak.Menurut Micheal Chong iaitu Ketua Biro Pengaduan MCA, dia berkata bahawa 90 peratus buruh tanpa izin di negara Jepun adalah dari negeri Perak dan Pulau Pinang. Tetapi saya tidak faham kenapa dia masih menyeru Kerajaan Pusat untuk mempermudahkan proses pengeluaran visa kepada rakyat yang hendak bekerja di Jepun.Adakah dia sedar bahawa cadangan ini tidak selari dengan kerajaan pusat dan negeri untuk mengelakkan migrasi yang tidak sekata?

Kesimpulan

Tuan Yang Dipertua. Untuk menyimpul perbahasan saya pada hari ini dalam dewan yang mulia ini. Saya berasa rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan negeri yang baru. Walaupun masih diragui oleh sesetengah pihak yang berasa iri hati dan tidak dapat menerima hakikat. Tetapi saya tidak menyalahkan mereka, kerana minda mereka telah ketinggalan zaman apabila terlepas dari arus perubahan peta politik di negeri ini.
Bagi rakan-rakan sejawat di sebelah BN. Saya berharap mandat rakyat untuk mereka menjadi pembangkang juga perlu dihargai tanpa menganggap ianya adalah satu penghinaan ataupun wujudnya perasaan hilang air muka. Dengan memberi pandangan ataupun kritikan yang membina demi kepentingan orang ramai.

Sebagai akhir kata, saya menyokong usul menjunjung kasih atas titah ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Sekian,terima kasih.

No comments: